Friday, February 20, 2009



ABDULLAH BIN `ABBAS RADHIALLAHU `ANHU (IBNU `ABBAS)

Beliau adalah Abdullah bin al-Abbas bin Abdul Muttalib bin Hasyim. Bapanya adalah bapa saudara bagi Baginda Nabi s.a.w. maka Ibnu Abbas adalah sepupu Rasulullah s.a.w. Beliau dilahirkan 3 tahun sebelum peristiwa Hijrah berlaku. Semasa dilahirkan, beliau telah ditahnikkan oleh Rasulullah s.a.w. Maka, sudah menjadi dugaan para sahabat bahawa beliau akan menjadi salah seorang sahabat yang hebat berikutan bertemunya mulutnya dengan air liur Baginda yang berkat dan mulia sejak masih kecil lagi.
Sejak kecil lagi, Ibnu Abbas amat rapat dengan Baginda s.a.w. Kemana sahaja Baginda pergi, disana berdirinya Ibnu Abbas. Melangkah sahaja Rasulullah s.a.w. maka Ibnu Abbas menjadi peneman setia. Maka tidak hairanlah keilmuan yang dimiliki oleh Ibnu Abbas tidak ada tolok bandingnya kerana beliau sentiasa melazimi Rasulullah s.a.w dimajlis-majlis ilmu dan dimana sahaja. Sudah tentu banyak yang dicurahkan oleh Baginda Nabi s.a.w. kepada beliau dan sudah tentu banyak sekali pengalaman dan ilmu yang dapat dikutip seberadanya bersama Rasulullah s.a.w. Tambahan pula, beliau pernah mendapat doa daripada Baginda s.a.w. Diantara riwayat yang menceritakannya adalah seperti berikut:
عن ابن عباس رضى الله عنهما قال: أن النبى صلى الله عليه وسلم دخل الخلاء, فوضعتُ له وضوءا. قال النبى صلى الله عليه وسلم : (من وضع هذا؟) فأخبر فقال : (اللهم فقهه فى الدين) رواه البخارى
Maksudnya: Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. katanya: Suatu hari Baginda s.a.w. memasuki tandas, maka lantas aku meletakkan air untuk Baginda bersuci (tanpa disuruh). Maka sabda Baginda s.a.w : Siapakah yang meletakkannya?. Dikhabarkan kepada baginda bahawa aku yang meletakkannya. Sabda baginda : Ya Allah!!! Engkau fahamkanlah dia dalam urusan agama. (H.R. Bukhari)
وكان عمر رضى الله عنه يدعوه ويقرّبه ويقول : إني رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم دعاك يوما فمسح رأسك فقال: ( اللهم فقهه فى الدين وعلمه التأويل)
Maksudnya: Pada suatu hari Saidina Umar r.a. memanggilnya (Ibnu Abbas) serta menghampirinya lantas berkata : Sesungguhnya aku pernah melihat pada suatu hari Rasulullah s.a.w. mendoakanmu dan menyapu kepalamu dengan sabda Baginda: Ya Allah!!! Engkau fahamkanlah dia dalam urusan agama dan ajarkanlah dia akan takwilan.
Maka tidak syak lagi tingginya nilai akhlak,budi dan ilmu yang ada pada Ibnu Abbas r.a. Sehinggakan apabila beliau dewasa, gelaran Hibrul Ummah wa Turjumanul Quran dinisbahkan kepada beliau. Kehebatannya dalam bidang ilmu terutamanya dalam bidang tafsiran al-Quran dan Hadis melayakkan beliau menjadi rujukan utama para sahabat dalam bidang al-Quran, Hadis dan Feqh. Telah berkata Ubaidillah bin Abdullah bin Atabah:
“Tidak pernah aku menemui seseorang yang lebih alim dan fakih daripada Ibnu Abbas r.a kerana dia mendahului orang lain dari aspek hadis dan hukum hakam daripada Saidina Abu Bakar, Umar dan Usman radhiallhu Taala `anhum. Tidak ada juga yang lebih pakar dalam tafsir al-Quran, bahasa Arab, syair-syair dan ibarat Arab, pengiraan dan faraidh melainkan dia. Adalah dia mengajar sehari untuk ilmu feqah, sehari untuk tafsir, sehari untuk untuk syair dan sehari untuk sejarah-sejarah Arab. Tidak pernah aku melihat seorang yang alim datang kepada Ibnu Abbas melainkan dia akan tunduk dan tawadhuk dengan Ibnu Abbas, dan tidak ada seseorang yang bertanyakan sesuatu kepadanya melainkan disisi Ibnu Abbas sudah ada jawapan yang diberikannya”.
Menurut riwayat, Ibnu Abbas adalah seorang yang warak, zuhud, banyak beribadah dan banyak menangis sehinggakan wujud kesan tangisan di kedua belah pipinya.
Ibnu Abbas r.a wafat di Thaif pada tahun 68 Hijrah. Menurut riwayat, apabila hari pengkebumiannya, burung-burung putih kelihatan masuk kedalam usungan mayat beliau akan tetapi tidak pula dilihat keluar daripada usungan mayat tersebut. Apabila hendak dikebumikan, tiba-tiba terdengar satu suara dari kuburnya berkata:
يأيتها النفس المطمئنة // ارجعى إلى ربك راضية مرضية // فادخلي فى عبادي // وادخلي جنتي
Justeru, diharap sejarah ringkas Sahabat Rasulullah s.a.w. ini mampu menaikkan semangat kita untuk terus dan terus menuntut ilmu Allah di bumi bertuah ini.

No comments:

Post a Comment